Fathia diburu lelaki misteri
Oleh Zaidi Mohamad
[Makeup & Hairdo By ValShuQ]
2011/05/08
PERHATIAN semua, mengumumkan kemunculan Nur Fathia Abd Latiff sebagai penghias muka edisi wajah terbaru B*Pop hari ini. Awas juga buat semua pelakon wanita di luar sana kerana kehadiran dan pesona pelakon jelita berusia 24 tahun ini dianggap mampu memberi persaingan hebat. Hadir dengan pakej yang dilihat sempurna, pelakon jelita ini diramal mampu menyerlah dan mencipta populariti besar dalam industri perfileman tidak lama lagi. Berikan sedikit masa lagi untuknya membuktikan bakat yang dimiliki itu mampu memberi impak tersendiri.
Mesra dengan nama komersial Nur Fathia, anak sulung daripada empat beradik ini mempunyai pesona tersendiri kerana gayanya yang manja, imej bentuk badannya yang erotik dan boleh mencairkan hati lelaki. Jadi tidak hairan, ada peminat misteri yang cuba menggoda dan menagih cintanya.
Populariti segera yang dikecapi memungkinkan dirinya terdedah dengan perhatian lelaki berpangkat VIP dan tidak kurang yang tidak dikenali. Hal ini diakui pelajar jurusan perundangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga mula laris di pasaran khususnya untuk drama televisyen.
“Bayangkan saya pernah menerima jambangan bunga ros merah besar daripada peminat misteri yang menggelarkan dirinya sebagai Mr X dengan nota bertulis Hai Cik Peguam, Selamat Maju Jaya. Jambangan bunga itu dihantarnya di pejabat Dekan, Fakulti pengajian.
“Gara-gara bunga itu, saya mendapat panggilan daripada pejabat Dekan untuk menuntut jambangan bunga itu. Apa lagi, terus ia menjadi topik perbualan hangat di kelas. Malahan, hal itu turut diketahui beberapa orang pensyarah saya,” katanya yang anggun dengan persalinan rona emas rekaan Albert King.
Tidak habis di situ, Nur Fathia yang kini sebaris dengan pelakon generasi baru antaranya seperti Kilafairy, Miera Liyana, Elfira Loy, Faralyna dan Neelofa turut beberapa kali ‘diganggu’ dengan kehadiran wakil daripada lelaki VIP yang mahu kenal lebih mesra dengannya di lokasi penggambaran.
“Taktik menggunakan pembantu peribadi atau wakil pekerja mereka sering digunakan sesetengah lelaki yang mahu merapati saya. Ada di antara mereka yang seperti kebiasaan meninggalkan kad nama dengan harapan saya akan menghubungi mereka.
“Saya yakin ini harga yang perlu dibayar apabila semakin dikenali ramai. Ada kalanya perasaan saya jadi bercampur baur seperti bersalah dan takut apabila ada yang cuba mendekati saya. Saya sebenarnya terbuka dalam soal berkawan tapi timbul juga apa motif sebenar mereka ini,” katanya sambil ketawa manja kala mengimbas kembali cerita ini.
Sisi lain, si tinggi lampai ini juga bertuah kerana kelibatnya masih belum menjadi perhatian dek kontroversi mahupun gosip. Namun sedar sebagai anak seni, perihal itu pasti menjadi mainan dalam rentak kerjayanya. Oleh itu, Fathia akui sudah bersedia untuk melalui dan menepis setiap halangan dan dugaan mendatang.
“Saya menerjah persada seni ini pun atas tiket mencuba dan ia terjadi secara kebetulan. Dunia lakonan sejujurnya, saya lakukan sebagai kerja sampingan mengisi masa terluang apabila cuti semester pengajian. Jadi secara jelas, saya hanya mahu berlakon dan dapat juga mencari duit poket.
“Lalu, soal kontroversi atau apa saja yang sewaktu dengannya, tidak pernah langsung saya fikirkan. Ya... memang cakap senanglah sebab saya belum berdepan dengan perihal itu lagi. Malah, saya sendiri pun tidak dapat menduga apa yang bakal dilalui saya sepanjang tempoh berlakon ini,” katanya sambil menegaskan dunia lakonan yang disertai bukan atas alasan untuk glamor.
Bagi gadis jelita dan tinggi lampai berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang ini, dia masih menyifatkan dirinya sebagai orang biasa yang tiba-tiba diberi kesempatan di bawah kerdipan glamor dunia perfileman yang menjadi perhatian ramai. Pada masa sama, cita-citanya sejak kecil mahu bergelar peguam tetap mahu digapainya suatu hari nanti.
Dalam jangka masa dua tahun lagi, jika pengajiannya selesai, dirinya layak bergelar peguam, itu pun selepas berjaya mendapatkan Sijil Amalan Guaman (CLP).
“Dunia seni ini pun bukan selamanya akan berpihak kepada saya. Saya pun bukan sentiasa akan jadi pilihan penerbit dan pengarah. Lumrah seperti dunia yang berputar, pelakon pun akan berganti dengan pelapis baru. Jadi saya perlu serius memikirkan masa depan supaya lebih terjamin.
“Tapi bukan bererti saya menidakkan bahawa dunia seni ini tidak memberi jaminan. Cuma, saya sudah membulatkan pendirian untuk memilih dunia guaman untuk masa depan saya. Apabila saya mula mengamalkan bidang ini, itu bermaksud saya akan memperlahankan dunia lakonan apabila tiba masanya kelak,” katanya.
Kuat cemburu
Selepas tamat peperiksaan, Nur Fathia mempunyai cuti empat bulan untuk dimanfaatkan dalam dunia lakonan. Malah saat dia berdepan dengan peperiksaan itu pun, berlambak tawaran berlakon filem dan TV yang bertandang. Tapi semuanya terpaksa dilepaskan dengan hati yang reda.
Sepanjang tempoh peperiksaan itu juga, dia sebenarnya sedang melunaskan penggambaran drama Hotel Hasanah bagi siaran TV AlHijrah digandingkan dengan Fizz Fairuz. Namun kerana sudah dipersetujui lebih awal, pihak produksi bersikap tolak ansur dan memahami komitmennya terhadap pelajaran.
Hotel Hasanah juga sekali lagi akan menyaksikan Nur Fathia mengenakan tudung demi tuntutan watak yang dipertanggungjawabkan. Sebelum ini menerusi drama Nur Kasih, Dea Sofea, Laila Asyikin dan Hani turut melihat dia tampil bertudung.
“Sepanjang dua tahun berlakon, hampir 90 peratus pembabitan saya dalam drama memerlukan saya bertudung. Sebelum berlakon pun, saya pernah tampil bertudung dalam iklan syampu Sunsilk. Saya tak kisah dengan tawaran sebegitu cuma bimbang juga timbul prejudis terhadap diri saya yang realitinya tidak bertudung.
“Barangkali kerana iklan itu juga drama pertama lakonan saya Nur Kasih yang diarahkan Kabir Bhatia juga menuntut saya bertudung. Saya menerima tawaran ini dengan hati terbuka. Sebagai orang Islam, saya juga perlu menjaga adab dan tingkah laku supaya tidak mengundang persepsi negatif,” katanya yang sebelum drama Nur Kasih pernah diundang berlakon dalam telefilem Joe & Faridah lakonan Erra Fazira.
Diaju persoalan peribadi, Nur Fathia memberitahu dia tidak pernah mengehadkan dirinya dalam soal berkawan dan bercinta. Pada saat ini, dia yang bakal muncul dengan filem Al Hijab bergandingan dengan Pierre Andre yang juga pengarah, mengakui belum ada kekasih hati.
“Setakat berkawan itu adalah. Apa yang boleh saya katakan bakal kekasih hati saya nanti hanyalah orang biasa dan bukan di kalangan artis. Itu mungkin syarat untuk memiliki cinta saya. Saya ini jenis yang kuat cemburu. Jadi kalau kekasih saya di kalangan artis, ia memang sesuatu yang mustahil.
“Tak dapat saya bayangkan kekasih saya berlakon babak intim atau berpegangan tangan dengan pelakon wanita lain. Maka dengan itu, saya lebih selesa mempertimbangkan kekasih yang bukan artis. Hingga saat ini, saya masih tegar mempertahankan prinsip itu,” katanya.
Profil
- Nama sebenar: Nur Fathia Abd Latiff
- Panggilan komersial: Nur Fathia
- lahir: 1 September 1987
- Umur: 24 Tahun
- Asal: Ayer Hitam, Pulau Pinang
- Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik
- Kerjaya: Pelakon, model dan pelajar
- Cita-cita: Peguam/Seniwati yang dihormati
- Drama: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani, Mek Kelate, Hani
- Filem: Al Hijab
- Iklan: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua dan Panasonic
No comments:
Post a Comment